Boleh dikatakan ramai yang sukakan sofa kulit untuk mengisi ruang tamu rumah. Sofa kulit mempunyai ciri-ciri elegan dan ianya mudah dibersihkan. Namun, ada beberapa perkara yang anda harus berikan perhatian dari segi penjagaan sofa kulit agar ia lebih tahan lama. Jika tidak dijaga dengan berhati-hati, sofa kulit akan mudah mengelupas dan retak lalu mengeluarkan span di dalamnya.
Berikut antara tip penjagaan sofa kulit yang berguna.
1. Elakkan meletak sofa di kawasan yang menerima pancaran matahari secara terus. Ini boleh membuatkan sofa tersebut hilang keaslian warnanya dan menjadikannya retak dan pecah dengan mudah.
2. Hindari membersihkan sofa dengan menggunakan pembersih yang mengandungi bahan kimia seperti bahan peluntur kerana ia boleh menjejaskan warna dan permukaan sofa boleh menjadi berkerutu.
3. Permukaan sofa perlu dibersihkan secara kerap dan teratur dengan cara paling mudah ialah dengan mengelap dengan kain lembap untuk menghilangkan kotoran seperti debu.
4. Sofa kulit memerlukan rawatan untuk mengelakkan bahan kulit daripada kerosakan dan berubah warna yang kebiasaannya disebabkan oleh pancaran cahaya matahari, haba yang berpanjangan dan udara yang berhabuk.Seeloknya, setiap tiga bulan sekali, cuci permukaan sofa dengan span yang dilembapkan dengan menggunakan air suam serta diisi sedikit sabun. Pastikan sabun tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit, sekadar cukup sehingga terdapat buih pada span. Lapkan pada sofa dan biarkan kering seketika. Kemudian barulah dilapkan dengan kain bersih yang kering.